ALOR SETAR – Kerajaan negeri bercadang untuk melaksanakan kaedah kawalan penjualan vape sebelum menentukan sebarang keputusan berhubung larangan penjualan peranti itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya tidak akan terburu-buru membuat keputusan mengharamkan penjualan vape kerana lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Terengganu telah mulakan proses untuk melarang penjualan vape sejak 2016, sekarang 2025 dekat 10 tahun proses itu.
“Di Kedah, PBT keluarkan lesen untuk premis penjualan vape sebelum ini, jadi bila sudah ada lesen mereka berhak beroperasi. Kita tidak boleh buat keputusan hari ini, nanti mereka saman pula,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Perlis dan Terengganu bakal mengharamkan penjualan vape.
Ia susulan saranan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mencadangkan kerajaan negeri mengikut langkah Johor yang menguatkuasakan larangan itu melalui peruntukan undang-undang di bawah PBT masing-masing.
Muhammad Sanusi berkata, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mansor Zakaria diminta untuk membentangkan kertas cadangan berhubung langkah kawalan tersebut pada Mesyuarat Exco akan datang.
“Langkah kawalan itu akan dilaksanakan sehingga lesen premis penjualan vape tamat. Selepas itu baru keputusan mengenai penjualan vape akan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Mansor berkata, kaedah kawalan penjualan vape yang dicadangkan itu sama seperti penjualan rokok yang mana produk itu tidak dibenarkan dijual kepada remaja dan kanak-kanak bawah 18 tahun serta tidak boleh diiklankan. – KOSMO! ONLINE