PETALING JAYA – “Mereka juga merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan yang cukup penting. Kita perlu hargai segala jasa dan pengorbanan mereka”.
Demikian permintaan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan kepada semua pihak.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pemandi jenazah, pemandu van jenazah dan tok siak juga perlu dihargai peranan mereka.
“Baru-baru ini, ketika saya menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), saya telah meminta ruang untuk menyampaikan sumbangan khas.
“Sumbangan khas kepada 132 pemandi jenazah, pemandu van jenazah, penggali kubur dan tok siak yang hadir dari Parlimen Sungai Buloh .
“Sudah menjadi satu kemestian dan kewajipan kepada saya untuk meraikan mereka sejak memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen semasa perayaan hari raya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Ramanan berkata, sumbangan beliau itu bukan sekadar bantuan, sebaliknya tanda ikatan terima kasih dan pengiktirafan kepada mereka.
“Saya menyampaikan penghargaan kepada AIM kerana menjayakan majlis ini untuk meraikan bersama para pemandi jenazah, pemandu van jenazah, penggali kubur dan tok siak,” katanya. – KOSMO! ONLINE