BRACKLEY – Mercedes masih belum memuktamadkan barisan pemandu mereka untuk musim 2026 di tengah spekulasi berterusan yang mengaitkan Max Verstappen dengan perpindahan ke pasukan itu.
Bekas pemandu Formula Satu (F1), Karun Chandhok menyarankan Mercedes supaya mengekalkan barisan sedia ada dengan mengambil contoh perkembangan pesat Oscar Piastri untuk pembangunan Kimi Antonelli.
“Dia memang antara pemandu terbaik tahun ini,” kata Chandhok.
Antonelli dipanggil untuk bergandingan dengan George Russell dalam pasukan itu susulan pemergian Lewis Hamilton, manakala Russell kini memainkan peranan sebagai ketua pasukan.
“Kalau hari ini kena pilih tiga pemandu terbaik untuk lima hujung minggu pertama, mungkin pilihannya adalah Piastri, Verstappen dan Russell,” ujar Chandhok.
Ketua pasukan, Toto Wolff sebelum ini turut menepis spekulasi mengenai perubahan besar dalam barisan pemandu Mercedes dan menekankan keyakinannya terhadap Russell dan Antonelli.
“Toto pun pada hujung minggu lepas menepis isu ini dan berkata, tiada tekanan besar dengan Russell dan Antonelli.
“Lonjakan prestasi Oscar dari 2023 ke 2024 dan dari 2024 ke 2025. Jika Antonelli mampu buat langkah serupa, maka gabungan George dan Antonelli sudah cukup kukuh. Malah, kosnya mungkin jauh lebih rendah berbanding jika perlu membayar Max dengan jumlah gaji yang besar,” katanya lagi. – AGENSI