fbpx

Dipenjara tiga tahun culik budak autistik malam raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasri (gambar) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang buruh dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik kanak-kanak autistik bulan lalu.

Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal memerintahkan tertuduh Jasri Ismail, 36, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Mac lalu.

Jasri didakwa menculik kanak-kanak lelaki di bawah penjagaan bapanya berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas pukul 8.20 malam, pada 30 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman penjara minimum bermula dari tarikh tertuduh ditahan atas alasan anak guamnya yang masih bujang perlu menyara ibu berusia 75 tahun. Tertuduh bekerja buruh dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli pula memohon hukuman setimpal kerana tertuduh menculik kanak-kanak berusia lima tahun yang berstatus istimewa.

“Kejadian berlaku pada malam Aidilfitri. Mangsa sepatutnya bersama keluarga, malah tertuduh turut mencederakannya berikutan terdapat kesan luka,” katanya.

Aini Adilah turut menjatuhkan hukuman setahun penjara terhadap tertuduh selepas mengaku bersalah mencuri kenderaan jenis Honda BRV milik bapa kanak-kanak itu.

Mahkamah turut mengarahkan barang kes diserahkan semula kepada pemiliknya.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas melarikan sebuah kenderaan bersama kanak-kanak autistik di parkir Masjid Kampung Banggol Pokok Sena. Suspek kemudian diberkas di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI