KETUA jurulatih skuad renang negara, Eric Anderson menyifatkan prestasi barisan atlet dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia baru-baru ini sebagai perkembangan positif menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.
Anderson berkata, kejayaan beberapa atlet muda mencatat rekod peribadi baharu dan layak ke Kejohanan Dunia memberi isyarat skuad renang negara berada di landasan tepat untuk terus mencipta kejayaan.
“Kami sangat gembira melihat ramai perenang mencatat peningkatan ketara. Kami juga sudah mempunyai beberapa atlet yang layak ke Kejohanan Dunia Remaja pada Ogos nanti,” katanya.
Antara perenang mencuri tumpuan ialah Goh Li Hen yang mencatat masa dua minit 01.71 saat (s) dalam acara 200 meter (m) gaya kupu-kupu iaitu satu catatan cukup kompetitif untuk mara ke final Sukan SEA.
“Isabelle juga tidak jauh daripada had kelayakan ke Sukan SEA Thailand selain sudah mengesahkan tempat ke Kejohanan Remaja Dunia. Ini sesuatu yang membanggakan,” tambah Anderson.
Dalam acara 50m kuak lentang, beberapa perenang muda turut mencipta kejutan apabila buat kali pertama berjaya mencatat masa bawah 27 saat iaitu sesuatu yang jarang dicapai sebelum ini.
Anderson turut memuji usaha Aiden Tan yang layak ke Kejohanan Dunia dalam acara 400m rampaian individu meskipun tidak memperbaharui rekod peribadinya pada kejohanan kali ini.
Dalam pada itu, Khiew Hoe Yean terus menyerlah selaku tonggak utama dengan membawa pulang lapan pingat emas, termasuk memecahkan rekod kebangsaan 200m rampaian individu.
Skuad renang negara dijadualkan kembali menjalani latihan intensif bermula 1 Mei ini sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA, Kejohanan Dunia dan Kejohanan Remaja Dunia yang bakal berlangsung antara Julai hingga Disember depan.