PETALING JAYA – Seorang bapa yang bersikap panas baran bukan sahaja memberi tekanan emosi kepada isterinya, malah turut mencederakan jiwa anak-anak secara senyap.
Demikian pandangan yang dikongsikan oleh Peguam Syarie, Fahmi Ramli menerusi perkongsian di Kumpulan Telegram hari ini.
Tegasnya, anak-anak tidak sepatutnya dibesarkan dalam suasana rumah tangga yang dipenuhi ketakutan dan kekerasan emosi.
“Setiap jeritan, makian, atau kemarahan yang meletup-letup sebenarnya meninggalkan kesan dalam hati anak-anak. Mereka mungkin nampak diam, tapi dalam hati penuh luka.
“Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana macam ni selalunya membesar dengan masalah keyakinan diri, takut nak percaya orang lain, susah kawal emosi, malah ada yang benci pada konsep keluarga,” katanya.
Beliau menambah bahawa jika seorang suami yang bersikap kasar dan panas baran tidak menunjukkan perubahan walaupun telah diberi peluang berkali-kali, maka ibu perlu mempertimbangkan langkah lebih tegas demi masa depan anak-anak.
“Kadang-kadang, berpisah atau bercerai itu bukan pilihan kejam, tapi satu bentuk perlindungan.
“Berani keluar dari hubungan toksik bukan bermaksud seorang ibu gagal dalam rumah tangga. Sebaliknya, ibu itu sedang berjuang untuk selamatkan anak-anak dari terus hidup dalam ketakutan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE