KUALA LUMPUR – “Lepas dengar bunyi kaca pecah, saya segera mengarahkan semua pelajar keluar.”
Demikian kata Muhd Nazmie Muhd Nasir, 31, iaitu warden Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, di sini mengenai kejadian kebakaran yang memusnahkan asrama lelaki sekolah itu, malam tadi.
Muhd Nazmie berkata, kejadian pada pukul 8.30 malam itu berlaku ketika 91 pelajar lelaki sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak berjemaah di surau sekolah.
“Sebaik terdengar dan mengesan tanda-tanda kebakaran, kami segera membunyikan loceng penggera dan mengarahkan semua murid berkumpul di kawasan selamat.
“Alhamdulillah, ketika kejadian itu semua penghuni bertindak pantas dan berdisiplin,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.
Muhd. Nazmie bagaimanapun berkata, pelbagai barangan seperti penghawa dingin, komputer riba, televisyen, mesin basuh, peti sejuk, pakaian sekolah dan pakaian harian yang tidak sempat diselamatkan menjadi abu.
Beliau berkata, proses pembelajaran hari ini berjalan seperti biasa dengan pembelajaran diadakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) selain guru-guru menyediakan modul latihan untuk pelajar yang tidak dapat hadir ke sekolah.
“Asrama ini menempatkan pelajar lelaki dan mempunyai enam buah bilik secara keseluruhannya. Semua bilik mengalami kerosakan teruk.
“Sekarang kami masih menunggu bantuan untuk membekalkan keperluan baharu kepada penghuni yang terjejas,” ujarnya.
Malam tadi Kosmo! Online melaporkan seramai 91 pelajar lelaki berdepan detik cemas apabila asrama mereka di SMK Tinggi Setapak terlibat dalam kebakaran malam tadi. -KOSMO! ONLINE