PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique mula melancarkan perang psikologi terhadap Arsenal menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Emirates awal pagi esok.
Bekas pengendali Barcelona itu mendedahkan, beliau sudah tahu corak permainan yang bakal digunakan Arsenal pada pertemuan tersebut selepas tewas 0-2 dalam aksi round-robin sebelum ini.
Walaupun baru sahaja tewas 1-3 kepada Nice dalam saingan Ligue 1 pada Sabtu lalu, namun Enrique berkata, ia tidak menjadi sebarang masalah memandangkan pasukannya akan turun dengan kekuatan sebenar berdepan The Gunners.
Justeru, PSG menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki segala kelemahan dan Enrique memberi jaminan semua orang akan melihat pasukan lebih berbeza berbanding ketika tewas 0-2 kepada Arsenal pada Oktober tahun lalu.
“Adakah saya sudah melakukan analisis terhadap Arsenal? Secara jujur, saya tidak buat sebarang analisis kerana saya sudah tahu bagaimana mereka akan bermain pada perlawanan itu nanti.
“Sudah lama saya mengikuti perkembangan mereka, jadi saya tahu permainan Arsenal. Jika dibuat perbandingan, saya fikir kedua-dua pasukan memiliki kualiti setara tetapi kami masih akan melakukan penambahbaikan,” katanya.
Menjelang perlawanan itu nanti, Arsenal berada dalam keadaan lebih selesa dan yakin memandangkan PSG tidak pernah menang dalam lima pertemuan terdahulu dengan Arsenal mencatat dua kemenangan.
Walaupun begitu, Enrique langsung tidak gentar dengan rekod tersebut, sebaliknya beliau menggesa pemain-pemainnya supaya membuktikan mereka layak untuk menjulang trofi UCL musim ini.
“Kami adalah pasukan terbaik di Perancis dan semua orang sudah menyaksikan bagaimana PSG bermain. Sekarang kami perlu lebih berani dan mula letakkan sasaran untuk memenangi trofi berprestij ini,” ujarnya. – AGENSI