KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas sebanyak 4.08 kilogram (kg) methamphetamine yang dikirim menggunakan kurier dari Semenanjung Malaysia ke Miri menggunakan alamat sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata, dadah bernilai RM130,560 itu dirampas ketika pemeriksaan menggunakan Anjing Pengesan Dadah (APD) di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Eastwood Valley Industrial Park, Miri pada pukul 9.30 pagi, 24 Mac lalu.
Katanya. dalam pemeriksaan pertama, APD mengesan satu kotak bungkusan mengandungi dua bungkusan teh berisi dadah seberat 2.04kg bernilai RM65,280.
Dalam pemeriksaan seterusnya, APD menjumpai dua bungkusan teh berisi 2.04kg methamphetamine RM65,280 yang dicampur produk makanan.
“Modus operandi sindiket adalah menghantar barang terlarang itu menggunakan perkhidmatan kurier udara dari Semenanjung ke negeri ini ke alamat rumah yang tidak berpenghuni,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE