PETALING JAYA – Suara pemimpin agama mesti dipandu dengan kebijaksanaan, kesederhanaan dan iltizam terhadap prinsip keadilan sejagat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dunia kini berada dalam era yang penuh cabaran abad ke-21 menyaksikan ledakan teknologi digital.
“Penyebaran maklumat salah, kemunculan politik identiti dan relativisme moral yang mengaburkan sempadan antara benar dan salah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata, negara bangsa tidak terbina hanya melalui dasar dan pembangunan fizikal, sebaliknya melalui nilai, akhlak dan belas ihsan antara manusia.
Kata beliau, institusi rumah ibadat memainkan peranan penting dalam membentuk nilai-nilai tersebut dalam jiwa rakyat.
Ujar beliau, Malaysia yang harmoni mampu terbina jika semua institusi keagamaan terus bekerjasama atas landasan hormat-menghormati, saling memahami dan cinta akan tanah air.
“Rumah-rumah ibadat bukan sahaja berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi golongan memerlukan, malah menjadi pusat pendidikan dan sumber kekuatan moral kepada masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE