KUALA LUMPUR – Tiga lelaki bersaudara disyaki dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan mendapatkan bekalan dipercayai dari Amerika Latin tumpas dalam serbuan berasingan di Lembah Klang.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman turut merampas pelbagai jenis dadah sebanyak lebih dua tan yang bernilai RM82.14 juta.
Pemangku Pengarah JSJN,Deputi Komisioner Polis Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, modus operandi sindiket adalah menjadikan rumah sewa sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan kepada pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Sindiket dipercayai menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum menghantar dadah jenis syabu ke Korea Selatan dan Jepun dengan nilai pasaran RM400,000 untuk satu kg,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Katanya, bekalan dadah itu disyaki dibawa masuk ke negara ini menggunakan jalan laut melalui Port Klang dengan konsainan diisytiharkan sebagai ‘plastic flakes’ (bahan mentah plastik) bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Polis sedang giat mengesan ahli sindiket yang disyaki terlibat dan akan bekerjasama Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Mat Zaini berkata, hasil risikan selama tiga bulan, tiga suspek utama berjaya ditahan di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Nadayu, Kajang sekitar pukul 4.30 petang, Khamis lalu.
“Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 39 tahun disyaki sedang menjalankan kerja pembungkusan dadah di dalam rumah tersebut.
“Pemeriksaan di dalam rumah menjumpai sebanyak 830 bungkusan plastik berisi dadah disyaki syabu, 56 guni plastik berisi syabu termasuk peralatan pembungkusan dadah,” katanya.
Mat Zani berkata, penahanan tersebut telah membawa kepada dua lagi serbuan membabitkan dua unit rumah di sebuah apartmen dan kondominium di Cheras, Jumaat lalu.
Katanya, pemeriksaan di dua kediaman itu menjumpai 95 plastik berisi dadah jenis ketamin termasuk 81 bungkusan plastik berisi ketulan ekstasi dan tiga bungkusan plastik berisi syabu.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas melibatkan syabu sebanyak 1.98 tan, 97 kilogram (kg) ketamin dan 87 kg ketulan ekstasi dengan nilai pasaran dianggarkan RM82.14 juta.
“Polis turut menyita aset sindiket iaitu empat buah kereta bernilai RM95,000,” ujarnya.
Mat Zani berkata, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah, manakala dua lagi mempunyai rekod lampau.
Tambahnya, kesemua suspek direman selama seminggu sehingga 1 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – KOSMO! ONLINE