KOTA BHARU – Hajat seorang pelajar tingkatan tiga untuk memakan mi celup tidak kesampaian apabila kenderaan ditunggang dirempuh motosikal bapa saudaranya di Kampung Kayu Rendang, Melor di sini Sabtu lalu.
Mangsa, Noor Amilia Salwa Mohd. Suhairi, 15, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi senalam ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.
Bapa saudaranya, Muhamad Faris Ismail, 33, pula hanya cedera ringan.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa dalam perjalanan ke sebuah kedai mi celup tersebut bersama lima rakan.
Muhamad Faris berkata, anak saudaranya menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari koma akibat kecederaan dalaman ekoran hentakan kuat pada dada.
Cerita lelaki itu, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melor selepas selesai bekerja sebagai tukang rumah di Pasir Pekan, Tumpat.
“Setibanya di lokasi kejadian sebuah motosikal Yamaha Ego Advantage tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk simpang ke kedai mi celup.
“Keadaan itu menyebabkan saya tidak sempat membrek sebelum merempuh motosikal berkenaan. Kami terjatuh di atas jalan.
“Tidak lama kemudian, ambulans tiba dan ketika itu saya baru tahu penunggang motosikal terbabit adalah Noor Amilia,” ketika ditemui Kosmo! di Kampung Kayu Besar, Peringat di sini hari ini.
Muhamad Faris memberitahu, dia tergamam apabila mendapati penunggang motosikal yang dirempuh adalah anak saudara yang dijaga bapanya sejak kecil.
“Saya sedih apabila mendapat berita kematian anak saudara. Nahas itu berlaku selepas saya gagal mengawal dan membrek motosikal kerana jarak yang terlalu dekat,” katanya.
Sementara itu, datuk mangsa, Ismail Hassan, 69, berkata, cucunya ada memaklumkan dia mahu pergi makan mi celup bersama rakan-rakan selepas pulang dari sekolah.
“Noor Amilia beritahu dia teringat kenangan bersama arwah bapa meninggal dunia sembilan tahun lalu akibat terjatuh di tempat kerja. Lelaki itu sering membawa pulang mi celup ke rumah untuknya.
“Disebabkan itu, dia teringin mahu makan mi celup. Selepas solat asar, arwah keluar untuk makan mi celup bersama lima rakannya dengan menunggang tiga buah motosikal.
“Cucu saya menunggang motosikal dengan membonceng rakannya untuk ke kedai tersebut yang terletak tiga kilometer dari rumah,” katanya.
Tambah warga emas itu, dia tidak menyangka perbualan dengan Noor Amilia yang terkenangkan arwah bapanya secara tiba-tiba merupakan petanda cucunya itu akan pergi selama-lamanya. – KOSMO! ONLINE