PETALING JAYA – Program ‘Jom Explore’ anjuran Yayasan Peneraju, agensi di bawah Kementerian Ekonomi di Shah Alam, Selangor pada 27 April lalu mendapat sambutan luar biasa.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, program jelajah itu akan diteruskan di Port Dickson, Negeri Sembilan; Ipoh, Perak; Kuantan, Pahang dan Kuching, Sarawak pada 10 Mei depan.
“Terima kasih kepada semua ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hadir beramai-ramai.
“Yayasan Peneraju ini ditubuhkan dengan satu misi jelas untuk melahirkan lebih ramai profesional bumiputera dan salah satu tumpuan kami adalah menggandakan bilangan akauntan bertauliah bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rafizi berkata, mulai tahun ini, pengambilan lepasan SPM untuk program akauntan bertauliah dinaikkan dari 500 kepada 1,500 orang setahun.
Kata beliau, bagi yang berminat perlu mengisi borang di https://peneraju.org/ dan lampirkan keputusan SPM serta hadir bersama ibu bapa ke sesi taklimat dan temuduga di bandar-bandar terpilih nanti.
“Kongsikan maklumat ini dengan anak-anak, adik-adik atau kenalan yang baru habis SPM. Layari https://peneraju.org/ untuk info terkini,” katanya. – KOSMO! ONLINE