KUALA TERENGGANU – Seorang pesara lelaki kerugian sebanyak RM109,500 selepas dipercayai terjerat dalam skim pelaburan yang dikaitkan dengan suami selebriti berpangkat Datuk Seri.
Mangsa berusia 58 tahun yang melabur menggunakan wang simpanan persaraannya membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 11.14 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, bekas pekerja pelantar minyak itu diperkenalkan dengan skim pelaburan patuh syariah itu oleh seorang kenalannya pada 29 Januari 2023.
“Mangsa yang berminat kemudian bersetuju untuk mendengar penerangan daripada ejen pemasaran skim pelaburan tersebut secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting.
“Penerangan skim pelaburan itu didakwa diberikan oleh suami selebriti berpangkat Datuk Seri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pesara itu kemudian bersetuju untuk melabur dalam pakej RM150,000 yang menjanjikan keuntungan sebanyak 18 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun.
Jelas beliau, pada mulanya mangsa menerima keuntungan awal seperti dijanjikan sebanyak RM40,500 secara berperingkat.
“Bagaimanapun pembayaran keuntungan itu dikatakan terhenti bermula pada 29 Oktober tahun lalu menyebabkan mangsa berasa tertipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE