JOHOR BAHRU – Seorang pekerja restoran dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh abang iparnya di Taman Desa Cemerlang empat tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh warga Myanmar, Kyaw Hlaing, 30.
Menurut Abu Bakar, pihak pendakwaan gagal membuktikan identiti si mati ialah Than Tun Hlain yang juga abang ipar tertuduh.
“Mahkamah meneliti semua keterangan kes pendakwaan secara maksimum dan setelah menghalusi hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah ini berpendapat pendakwaan gagal membuktikan kematian si mati disebabkan perbuatan tertuduh.
“Pendakwaan bergantung kepada keterangan sekeliling bagi mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan ke atas si mati. Tiada keterangan kukuh membuat simpulan tali yang kuat menjurus kepada tertuduh (sebagai) orang yang membunuh si mati,” kata beliau.
Abu Bakar berkata, fakta kes warga asing itu pergi ke Subang Jaya tanpa disokong keterangan lain tidak boleh mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan si mati.
Tambahnya, tiada asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh ditemukan di tempat pembunuhan dan pakaian lelaki itu yang dirampas di Subang Jaya juga tidak menemukan kesan darah si mati.
“Baju dan seluar tertuduh tidak dihantar untuk tujuan DNA, adakah wujud DNA si mati? Berdasarkan alasan-alasan itu, mahkamah berpendapat pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Tertuduh lepas dan bebas tuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri,” kata hakim itu.
Tambahnya, semua eksibit (melainkan dokumen) diserahkan kepada pihak polis untuk simpanan selamat sehingga rayuan (sekiranya ada) dilupuskan. – KOSMO! ONLINE