KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan satu pelan pemulihan buat mangsa insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights dalam minggu ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pengumuman itu akan dibuat bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.
“Ada satu perkara penting yang akan diumumkan minggu ini. Saya dan Menteri Besar Selangor akan bersama mengumumkan satu pelan pemulihan terbaik dan belum pernah berlaku untuk mangsa tragedi di Putra Heights.
“Kita mohon semua pihak bersabar sedikit masa lagi, berita baik akan disampaikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik Mukim Batu, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE