SEPANG – Seramai 284 jemaah haji menjadi kumpulan pertama dari Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu awal pagi tadi.
Mereka berlepas dari stesen Alor Setar, Kedah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini.
Pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang membawa jemaah itu berlepas dari KLIA Terminal 1 pada pukul 4.05 pagi tadi menuju ke Madinah.
Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz pada pukul 7.50 pagi (waktu Arab Saudi) hari yang sama.
Majlis pelepasan jemaah haji kumpulan pertama itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Mohd. Na’im ketika ditemui mengingatkan semua jemaah haji Malaysia pada musim ini supaya mengekalkan imej baik negara di mata dunia.
“Semua jemaah haji perlu mematuhi dan menghormati peraturan Arab Saudi dengan mengelakkan diripada terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang tuan rumah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi terutama Kementerian Haji dan Umrah kerana meneruskan inisiatif ‘Makkah Route’ buat tahun ketujuh pelaksanaannya.
Di samping itu, Malaysia juga terpilih sebagai negara pertama di dunia yang mengagihkan kad Nusuk kepada jemaah di dalam negara sendiri untuk musim haji kali ini.
“Semua jemaah dinasihatkan sentiasa bawa kad Nusuk ketika menunaikan apa-apa rukun haji kerana ia adalah kad pengenalan rasmi yang diperkenalkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ketika berada di Tanah Suci.
“Misalnya jemaah haji hendak masuk ke Arafah, Mina, Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa adanya kad (Nusuk) ini mereka tak boleh masuk,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE