MUNICH – Penggempur berbisa Bayern Munich, Harry Kane terpaksa bersabar untuk tempoh seminggu lagi sebelum mendakap trofi pertama dalam karier profesionalnya.
Bayern mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Mainz di Allianz Arena kelmarin tetapi hasrat mereka untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga lebih awal tidak kesampaian.
Ia susulan kemenangan juara bertahan, Bayer Leverkusen 2-0 ke atas Augsburg untuk menangguhkan seketika perayaan Bayern menjulang gelaran liga ke-34.
The Bavarians akan merealisasikannya jika menang ke atas RB Leipzig minggu depan, namun terpaksa akur bakal turun tanpa kelibat Kane yang perlu menjalani penggantungan satu perlawanan.
“Keputusan yang gila dan saya terlepas aksi menentang Leipzig. Tiada masalah, saya akan tetap meraikannya sama seperti semua pemain lain,” kata Kane.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany tidak bimbang kerana berkeyakinan tinggi mereka mampu menyelesaikan tugas dengan menewaskan Leipzig sekali gus mengesahkan gelaran Bundesliga.
“Kami sudah mengharungi 34 perlawanan musim ini. Bukan sahaja Kane tetapi mereka yang cedera seperti Jamal (Musiala), Alphonse (Davies), Dayot Upamecano dan (Hiroki) Ito juga perlu meraikannya nanti.
“Anda perlu benar-benar meraikan dan menikmatinya tidak kiralah ia gelaran kali pertama atau tidak,” katanya.
Sebagai rekod, Bayern kini mengungguli carta liga dengan kelebihan lapan mata ke atas Leverkusen di tangga kedua dalam saingan cuma berbaki tiga perlawanan lagi untuk tamat. – AGENSI