SETELAH memulakan saingan Red Bull Rookies Cup dengan podium tempat kedua dua kali berturut-turut di Jerez, Sepanyol, Hakim Danish Ramli kini memberi perhatian kepada pusingan seterusnya berlangsung di Litar Le Mans, Perancis bermula 9 hingga 11 Mei ini.
Aksi cemerlang di Jerez membolehkan Hakim Danish mendahului carta keseluruhan selepas mengumpul 40 mata hasil daripada prestasi konsisten dalam dua perlumbaan pembuka tirai.
Walaupun berjaya meraih podium, namun pelumba berusia 17 tahun itu menyedari masih banyak perlu diperbaiki sebelum perlumbaan di Le Mans.
“Secara keseluruhan saya berasa sangat baik dan yakin sepanjang perlumbaan. Saya cuba uruskan rentak perlumbaan tetapi melakukan kesilapan di selekoh kedua terakhir menyebabkan saya kehilangan kelajuan dan dipintas oleh Brian Uriarte pada Perlumbaan 1.
“Dalam Perlumbaan 2, saya menamatkan saingan di tempat kedua dan akur dengan keputusan itu. Saya berasa sangat yakin dengan jentera dan saingan di kelompok hadapan juga sangat sengit hingga ke selekoh terakhir.
“Saya akan terus berusaha memperbaiki prestasi untuk perlumbaan di Le Mans nanti,” katanya.
Pelumba kelahiran Terengganu itu bertekad untuk memperbaiki kelemahan dalam pengurusan dan strategi sepanjang perlumbaan agar dapat menghadapi persaingan sengit di Le Mans.
“Perlumbaan 2 kali ini tidak berjalan seperti yang saya harapkan. Kumpulan saingan besar dan sengit. Dalam masa sama, saya menikmati perlumbaan yang penuh dengan aksi memintas.
“Saya tidak akan berhenti. Semua ini menjadikan saya lebih kuat untuk terus berjuang. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan saya,” tambahnya.
Kini, Hakim Danish perlu mengekalkan prestasi bagi memenuhi sasaran SIC Racing yang memberi jaminan tempat buatnya ke Moto3 dengan syarat dia perlu mempamerkan keputusan konsisten sepanjang musim ini.