JAGUH lompat tinggi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Farrell Glenn Felix Jurus tekad mahu memenangi pingat pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman bermula Julai depan.
Atlet berusia 23 tahun itu yakin mampu melayakkan diri ke peringkat akhir acara kegemarannya dan menganggap satu bonus jika nasib menyebelahinya untuk membawa pulang pingat emas.
“Setiap atlet memasang angan dan impian, mereka akan tumpu untuk capai pingat dalam apa jua acara disertai. Begitu juga saya, temasya terdekat adalah Terbuka Filipina minggu ini, saya akan cuba perbaiki catatan lompatan untuk meraih pingat.
“Acara tumpuan terbesar adalah WUG (Universiade) pada Julai depan di Jerman, sasaran dapat pergi final. Kalau dapat pingat adalah bonus dan sudah pastinya nak bawa balik emas,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berjaya mencatat 2.16 meter (m) pada siri pertama Kejohanan Olahraga Varsity Track & Field (VTF) di Kompleks Sukan Kluang, Ahad lalu.
Ia sekali gus memperbaiki rekod peribadinya ketika membawa pulang pingat gangsa pada temasya Sukan Sea Kemboja edisi ke-32, dua tahun lalu.
Pelajar tahun ketiga jurusan Sains Sukan itu berkata, VTF anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah platform terbaik buat atlet mengasah bakat mereka sebagai persediaan untuk menghadapi temasya sukan terkemuka.
“Acara sukan dalam universiti ada tapi tak banyak. Kita bersaing antara kita-kita sahaja, jadi dalam VTF, kita dapat bersaing dengan atlet dari seluruh universiti awam dalam negara,” jelasnya.