fbpx

EPL: Penghargaan buat Jurgen Klopp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIVERPOOL mengesahkan kejuaraan EPL lebih awal berbaki empat perlawanan selepas membenam cabaran Spurs di Anfield awal pagi semalam. - AFP

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot memberikan penghargaan kepada bekas pengendali pasukan itu sebelumnya, Jurgen Klopp selepas The Reds mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam.

Liverpool berjaya mencatat kemenangan 5-1 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi di Anfield tersebut sekali gus menyaksikan mereka berjaya merangkul 20 kejuaraan EPL dan Slot menjadi pengurus dari Belanda pertama meraih kejuaraan tersebut.

“Pastinya suatu yang hebat. Saya tidak mahu berkata banyak, saya hanya mahu menyampaikan penghargaan terhadap Jurgen Klopp.

“Banyak momen pada musim ini di mana kami berdua berkomunikasi. Apa yang penting adalah pasukan yang beliau tinggalkan kepada saya memiliki kemampuan untuk memenangi trofi. Budaya, cara kerja dan kualiti yang ditinggalkan Klopp cukup luar biasa,” katanya.

Ketika tiba di Anfield pada musim panas lalu, tidak banyak yang menjangkakan bahawa Slot mampu menikmati kejayaan ini pada musim pertamanya, namun beliau berjaya membuktikan sebaliknya.

“Kami bermula dengan baik, ia dibantu dengan situasi sukar dihadapi Manchester City yang tidak pernah melaluinya sejak lima tahun lalu,” jelasnya.

Kali terakhir Liverpool memenangi gelaran EPL pada lima tahun lalu, namun pandemik Covid-19 menyaksikan mereka tidak dapat meraikan gelaran bersama pada peminat di Anfield menjadikan kejuaraan kali ini cukup istimewa.

“Sangat istimewa untuk menang di sini, sukar untuk saya gambarkan. Semua orang berharap Crystal Palace mampu membantu kami ketika menentang Arsenal, tetapi saya percaya memenanginya di sini lebih baik.

“Berbanding ketika memenanginya pada 2020, ia sangat berbeza. Perasaan yang sungguh luar biasa. Ia 100 peratus lebih baik berbanding apa yang kami nikmati sebelum ini,” jelas bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI