BOURNEMOUTH – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim memberitahu para penyokong bahawa semuanya akan berubah musim depan selepas mereka menyaksikan seteru utama, Liverpool meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kejayaan Liverpool itu menyaksikan United hilang kelebihan apabila rekod 20 kejuaraan yang disandang mereka sebelum ini berjaya disamakan, selain musim ini menyaksikan mereka bergelut di kelompok bawahan liga.
Perlawanan menentang Bournemouth di Stadium Vitality kelmarin menyaksikan United terselamat daripada berdepan kekalahan ke-16 musim ini apabila perlawanan berakhir dengan 1-1 ketika Rasmus Hojlund muncul penyelamat dengan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.
“Perkara pertama adalah fokus kepada pasukan kami sendiri, bukan pasukan lain. United dan Liverpool berada pada tahap yang berbeza ketika ini, tetapi semuanya akan berubah nanti.
“Saya masih ingat ketika saya menyaksikan EPL, situasinya berbeza berbanding ketika ini. Jadi, saya percaya perubahan itu akan terus berlaku selepas ini,” katanya.
United ketika ini ketinggalan 43 mata berbanding Liverpool dan bergelut untuk mencari penamat terbaik terbaik mengidamkan trofi Liga Europa sebagai penyelamat musim.
“Sasaran kami untuk memenangi EPL, tetapi saya tidak ‘gila’ kerana saya tahu ia tidak akan berlaku musim depan. Kami perlu meningkat selepas ini,” jelasnya. – AGENSI