PETALING JAYA – Pihak pembangkang yang membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) diminta melihat dan mendengar suara rakyat miskin bandar yang terdesak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembangkang tidak sepatutnya menunggang agama dan memainkan sentimen perkauman dalam perkara tersebut.
“Jangan tunggang agama dan main sentimen perkauman, tapi selepas itu baling batu simpan tangan.
“Sila ambil tanggungjawab. Jangan halang Kerajaan Madani bantu rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran berasingan, beliau mengkritik Ahli Parlimen pembangkang tidak menyertai ekspedisi lawatan kerja meninjau rumah-rumah daif.
Menurut beliau, ekspedisi lawatan kerja anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu adalah bersama Ahli Parlimen bagi memahami kepentingan Akta PSB.
“Semua Ahli Parlimen telah dijemput tapi bila bab nak bantu rakyat, semua Ahli Parlimen pembangkang Perikatan Nasional (PN) gagal hadir,” katanya. – KOSMO! ONLINE