MELAKA – Sebanyak 4,000 kampit Beras Melaka telah mula dijual kepada rakyat negeri ini pada harga RM26 bagi sekampit dengan berat 10 kilogram.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, orang ramai boleh mendapatkan Beras Melaka di empat lokasi iaitu pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Program Jualan Agro Madani dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Kata beliau, semua lokasi berkenaan dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Terdapat enam lokasi pasar tani iaitu di Alor Gajah, Masjid Tanah, Lubok China, Merlimau, Jasin dan Selandar. Sementara itu, terdapat 28 Agrobazaar Kedai Rakyat di seluruh Melaka.
“Lokasi jualan akan sentiasa dikemas kini bergantung kepada jadual aktiviti FAMA Negeri Melaka,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Beras Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE