PETALING JAYA – Bantuan segera akan disalurkan kepada semua pelajar yang terlibat dalam kejadian kebakaran asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, Kuala Lumpur semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tumpuan pada waktu ini adalah untuk memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.
“Bantuan segera akan disalurkan untuk memastikan kesejahteraan semua yang terlibat, terpelihara. Saya berharap agar semua pihak mengutamakan keselamatan semua warga sekolah berkenaan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, seramai 91 pelajar lelaki berdepan detik cemas apabila asrama mereka di SMK Tinggi Setapak terbakar pada pukul 8.30 malam tadi.
Sementara itu Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan, Megat Affandi Ismail, berkata, seramai 31 daripada 91 pelajar yang terjejas dalam kebakaran asrama sekolah itu hadir ke kelas seperti biasa, hari ini. – KOSMO! ONLINE