PUTRAJAYA – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman sempat melemparkan ‘flying kiss’ kepada ahli keluarga sejurus selepas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 50, dilihat gembira dengan keputusan rayuan akhirnya itu yang mana dia akan ditempatkan kembali ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Terdahulu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 53, berkata, sebelum prosiding, adiknya sudah bersedia dengan apa saja keputusan mahkamah.
“Ini adalah harinya…saya bersedia dengan segala keputusan yang dibuat mahkamah,” kata Zain ketika memaklumkan kata-kata Yasin.
Terdahulu selebriti itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini semalam atas tiga pertuduhan dadah.
Keputusan sebulat suara itu panel tiga hakim yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan akhir Yasin selaku perayu untuk mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan.
Meskipun dilepas dan dibebaskan, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 50, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin. – KOSMO! ONLINE