BENTONG – Tiada kesan tumpahan minyak ditemukan di lokasi kemalangan melibatkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 43.4, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini semalam.
Menerusi rakaman video tular berdurasi satu minit 20 saat menyaksikan kejadian itu melibatkan tiga buah motosikal berkuasa tinggi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 9.45 pagi itu bukan disebabkan permukaan jalan berminyak.
“Berdasarkan siasatan, motosikal terbabit hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di kiri lebuh raya.
“Salah seorang penunggang motosikal cedera di kaki, manakala dua lagi penunggang motosikal masih belum dapat dihubungi,” katanya hari ini.
Menurut Zaiham, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, pihak polis akan menghubungi kedua-dua penunggang motosikal terbabit bagi membantu siasatan.
Ditanya sama ada kumpulan penunggang motosikal itu dipercayai berlumba, beliau berkata, berdasarkan rakaman video tular tersebut, kumpulan berkenaan sedang berkonvoi.
“Pihak polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kemalangan tersebut supaya tampil untuk membantu siasatan.
“Polis akan mengambil tindakan tegas dan mengadakan operasi secara berterusan bagi memastikan lokasi berkenaan tidak dijadikan litar lumba oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE