IPOH – Polis berjaya memberkas suspek kes samun dalam tempoh kurang 24 jam selepas lelaki terbabit melarikan diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek warga tempatan berusia 27 tahun itu ditangkap semula pada pukul 8.22 malam di sebuah taman di Hutan Melintang.
“Kejadian pada pukul 4.15 petang itu berlaku apabila suspek menolak anggota polis yang mengiringinya ke lokap sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar ke arah jalan besar dan menghilangkan diri di kawasan perumahan.
“Lelaki terbabit dipercayai aktif dalam kegiatan samun di sekitar Perak. Ketika melarikan diri, suspek dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, Op Tutup dan Op Kesan diaktifkan bagi memburu suspek sebelum dia berjaya ditemukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada jagaan yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE