GEORGE TOWN – Sebahagian pengguna air di Bayan Lepas di sini terutama yang tinggal di kawasan tinggi dikatakan masih belum menerima bekalan air setakat pukul 3 petang tadi.
Mereka terdiri penduduk di kawasan perumahan Mutiara Perdana, Lengkok Kelicap, Setia Pearl Island dan Relau.
Lokasi-lokasi berkenaan merupakan kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) dan tanah tinggi.
Ketika ini, para pengguna dilihat mula meninggalkan komen di Facebook Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi mendapatkan status berhubung tempoh bekalan air disalurkan ke kediaman mereka.
Sebelum ini, PBAPP memaklumkan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) di kebanyakan lokasi di lima daerah negeri ini yang bermula 10 malam Jumaat lalu akan berakhir pada 10 pagi. hari ini.
Tedahulu, Kosmo! Online melaporkan bekalan air di semua kawasan terlibat dengan SWSI di Pulau Pinang berjaya dipulihkan sebanyak 99 peratus sehingga pukul 10 pagi tadi.
PBAPP memaklumkan yang bekalan air telah kembali pulih kepada kira-kira 337,000 daripada 341,708 pengguna yang terjejas. -KOSMO! ONLINE