fbpx
NURIN AMANINA bekerja sambilan menjual burger di dalam kampus UPM.

Platform mahasiswa bekerja di kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEPAT pukul 5 petang, gadis kecil molek itu sudah bersiap sedia memulakan tugasnya.

Bertanggungjawab menjaga kemudahan sukan dan fasiliti pelajar di Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, dia kelihatan begitu ceria dan bersemangat dengan kerjanya itu.

Menurut Siti Sedratul Muntaha Mohd. Zainol, 23, dia memilih untuk menyertai Job On Campus (JOC) yang diperkenalkan pihak UniSZA kerana mahu menyara perbelanjaan peribadi di kampus.

Meskipun sedang meniti minggu-minggu terakhir pengajian semester akhirnya di kampus, dia semakin ligat bekerja separuh masa kerana seronok dan turut menerima elaun khas.

JOC merupakan sebuah inisiatif bagi menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada mahasiswa UniSZA khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Program tersebut merupakan hasil cetusan idea Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Datuk Prof. Madya Dr. Mohd. Hafiz Yusoff bermula 1 April 2022 yang menyuarakan keperluan untuk memperkukuh sokongan kewangan kepada pelajar dalam kampus.

Menerusinya, pelatih yang terlibat menerima bayaran elaun berjumlah RM6.50 sejam dengan had maksimum sebanyak RM650 sebulan.

Pelajar dibenarkan bekerja tidak melebihi 8 jam sehari, 25 jam seminggu atau 100 jam sebulan selagi mana tidak menggangu jadual pengajian.

Meneruskan perkongsian, Siti Sedratul Muntaha memberitahu, dia telah bertugas di bawah PSR sejak beberapa bulan lalu dan keputusan untuk bekerja secara sambilan itu diambil kerana tidak mahu membebankan keluarganya.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang datang dari keluarga B40 itu menyatakan bapanya bekerja dengan menjual sate untuk menyara lapan ahli keluarga di rumah.

“Saya sertai JOC kerana tidak mahu susahkan ibu bapa di kampung.

“Saya mahu berdikari dan bantu diri sendiri dari segi kewangan,“ kata Siti Sedratul Muntaha kepada K-Kampus penuh bersemangat.

Jelasnya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu, dia juga berniat mahu membantu staf PSR UniSZA selain mengisi masa lapang dengan aktiviti yang mendatangkan nilai tambah.

Menceritakan pengalaman kerjayanya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dengan Kepujian ini memberitahu sebagai peserta JOC di PSR, tugas utamanya adalah menjaga kemudahan sukan dan fasiliti pelajar.

NOR AINA MAZLIN bekerja sambil menimba pengetahuan membuat kopi di salah satu outlet Raincoffee, UPM.

Pada masa sama, dia juga bertindak membantu staf dalam melancarkan segala program berkaitan sukan di universiti.

Akuinya, meskipun skop kerja kadangkala memerlukan tenaga dan komitmen tinggi, dia menganggap semua itu sebagai satu pengalaman berharga dan amat bermakna.

“Memang penat, tetapi bila hasil usaha dibayar dengan gaji (elaun), terus rasa puas.

“Saya belajar banyak benda dan bukan sekadar kerja fizikal, tetapi pengurusan masa, tanggungjawab serta kerjasama dengan staf,” katanya yang menyatakan kerjanya akan berakhir sekitar pukul 11.30 malam mengikut jadual ditetapkan.

Jika ada program sukan pula, dia akan bertugas lebih awal bermula pukul 8 pagi hingga ke malam.

Pun begitu katanya, pengurusan masa tidak pernah menjadi isu kerana jadual kelasnya ketika semester akhir ini tidaklah terlalu padat.

Baginya, penyertaannya dalam JOC benar-benar membantu menstabilkan kehidupannya sebagai pelajar.

“Program JOC sangat membantu saya dari segi kewangan dan kematangan.

“Saya belajar untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada keluarga. Saya juga bangga kerana dapat menyumbang semula kepada universiti menerusi kerja-kerja di PSR,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar UnisZA, Wan Mohamad Hafiz Wan Hassan, 23, menyifatkan penyertaannya dalam program JOC sebagai satu pengalaman yang sangat berbaloi dan memberi impak terhadap kehidupannya di kampus.

Jelas anak bongsu daripada empat beradik asal Kedah ini, dia mula menyertai JOC sejak awal tahun lalu dan kini masih meneruskan kontrak sebagai pembantu sambilan di pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

“Sepanjang saya bekerja di Pejabat HEPA, saya belajar banyak perkara terutama berkaitan urusan fail dan pentadbiran,” katanya.

Jelasnya, pengalaman sebagai peserta JOC memberi kesan positif kepada dirinya sekali gus menjadikan dia lebih aktif, berdisiplin dan bersemangat untuk belajar dengan lebih rajin.

Hafiz berkongsi, waktu bekerja sangat fleksibel yang mana dia hanya bertugas ketika masa lapang dan tiada kelas.

Menerusi gaji diterima, Hafiz mampu membeli barang keperluan, peralatan pembelajaran dan menampung perbelanjaan seharian sebagai pelajar.

Akuinya, dia sangat bertuah kerana adanya program sedemikian membantu pelajar sepertinya yang datang dari keluarga sederhana.

Berlainan pula di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor apabila aplikasi inovatif dikenali sebagai Job Hunting and Networking (JoHAN) telah dilancarkan dalam usaha memperkasa peluang pekerjaan sambilan dalam kalangan mahasiswa.

JoHAN dibangunkan Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM).

Bagi pelajar Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Nor Aina Mazlin Mazlan, 24, dorongan untuk bekerja sambilan datang daripada pengalamannya melihat rakannya mencuba peluang sama.

Pada masa sama, dia turut terinspirasi daripada bapanya yang berniaga kuih tradisional Melayu di Kelantan.

“Saya minat berniaga sejak kecil. Sebagai peminat kopi, saya mengambil peluang ini untuk mempelajari teknik membuat kopi sambil menambah wang saku dan menimba pengalaman kerja di salah sebuah outlet RainCoffee, UPM,” katanya.

Menurutnya, dia bekerja antara lima hingga enam jam sehari dalam dua syif iatu pagi atau petang dengan pendapatan sekitar RM100 sehari.

“Kebiasaannya saya memilih syif pagi supaya tidak mengganggu waktu kuliah yang kebanyakan pada sebelah petang,” katanya yang berhasrat membuka kafe miliknya sendiri satu hari nanti.

Sementara itu, pelajar Bacelor Pendidikan Sains Pertanian, Fakulti Pengajian Pendidikan, Nurin Amanina Mohd. Zulhaimi, 22, berkata, dia menyahut seruan UPM dan mula bekerja saparuh masa selepas melihat rakan sekelasnya mampu menyeimbangkan prestasi akademik dan kerja sambilan di Putra Agro.

Nurin Amanina kini menjual burger di dalam kampus pada waktu malam dan memperoleh pendapatan sekitar RM100 bergantung jumlah hari dan jam bekerja.

“Secara purata, saya mampu menjual lebih 60 biji burger setiap malam.

“Bagi saya, cabaran utama adalah saya perlu menyiapkan tugasan lebih awal bagi memastikan semuanya dihantar sebelum mula bekerja,” katanya.

Nurin Amanina turut menggalakkan pelajar lain menceburi kerja sambilan yang fleksibel, kerana ia bukan saja memberikan pendapatan tetapi juga kemahiran berguna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN