KUALA LUMPUR – Seorang pekerja swasta kerugian sebanyak RM1,150 selepas berurusan dengan ejen bagi urusan sewa kondominium di Sungai Besi, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mangsa berusia 25 tahun melayari laman sesawang sebelum berurusan dengan seorang lelaki untuk melihat dan menyewa kondominium berkenaan.
“Mangsa berjumpa dengan seorang wanita bernama Natasya yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen rumah pada Jumaat lalu.
“Selepas melihat kondominium tersebut, mangsa membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1,150 pada hari sama” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidil memberitahu, selepas membuat bayaran, suspek mula memberikan pelbagai alasan selain tidak memberikan sebarang perjanjian sewa rumah.
Katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas mendapat tahu rumah tersebut adalah inap desa bukannya kediaman untuk disewa daripada pemiliknya.
Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE