fbpx

MCMC siasat pempengaruh sebar maklumat palsu libat Institusi Diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pempengaruh media sosial ketika sesi rakaman percakapan berkait isu 3R. Foto Ihsan MCMC

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah menjalankan siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial berhubung penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja.

MCMC dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan susulan aduan rasmi daripada orang awam mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Jelasnya, bertindak atas aduan itu dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya pada Jumaat lalu dan hari ini.

“Siasatan awal mendapati kandungan yang dikaitkan dengan pempengaruh berkenaan melibatkan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas.

“Selain, cubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang,” katanya hari ini.

MCMC berkata, tindakan itu dilihat berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi.

“MCMC menegaskan bahawa semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.

“Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998 dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan,” ujarnya.

Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran kandungan berkaitan isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja), atau kandungan yang mengancam, mengganggu dan menceroboh privasi individu merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI