GUA MUSANG – Kerajaan bersetuju untuk membuka semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Gua Musang di sini yang ditutup sejak lebih lima tahun lalu selepas menghadapi masalah kekurangan pelajar dan penempatan pelajar di kolej.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kursus-kursus yang ditawarkan kali itu bersesuaian dengan keboleh pasaran untuk pelajar sekitar Gua Musang dan seluruh kelantan.
“Kursus yang akan ditawarkan antaranya robotik, internet kebendaan (IoT), automotif terutamanya kenderaan elektrik (EV) dan beberapa kursus lain yang memenuhi keperluan industri di Kelantan.
“Sekiranya tiada, kita akan buat padankan dengan pemain-pemain industri di luar Kelantan supaya pelajar mendapat peluang pekerjaan seperti di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas mereka tamat kursus,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Kelantan Kelantan (Kesedar) 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek di sini, hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, beliau sudah berbincang dengan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki dan kerja-kerja awalan pembukaan KPTM Gua Musang akan dilaksanakan bulan hadapan.
Menurutnya, kerajaan akan berbincang dengan Kesedar untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai lokasi pusat pengajian berkenaan.
“Kita menyasarakan pendaftaran pelajar kira-kira seramai 500 hingga 600 orang setiap tahun,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan bersetuju untuk membina jambatan di Batu 10, Nenggiri yang bernilai RM2 juta bagi kemudahan penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE