SHAH ALAM – Kesemua 18 kanak-kanak yang diselamatkan daripada sebuah rumah kebajikan persendirian di kawasan Batu 9, Cheras kini diletakkan dalam jagaan sementara selama dua bulan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, JKM masih lagi mengesan waris-waris kepada kanak-kanak tersebut.
“Kanak-kanak itu telah mendapat perintah jagaan sementara selama dua bulan bawah JKM.
“Proses itu akan diteruskan sehingga siasatan selesai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Selangor Care Accelerator (XCARE) 2025 di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu, sekiranya waris berjaya ditemui akan dipastikan individu yang sah dan layak untuk menjaga mereka.
“Rumah telah disita dan tidak benarkan beroperasi,” jelasnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan satu pendedahan mengejutkan mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan di Cheras, di sini susulan video tular memaparkan keadaan penghuni yang didakwa dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.
Rumah kebajikan itu turut didakwa mengenakan kawalan ketat tanpa justifikasi jelas, termasuk membiarkan penghuni terkurung dalam ruang yang sempit.
Kanak-kanak yang terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan berusia 5 hingga 17 tahun yang teraniaya tersebut bagaimanapun berjaya diselamatkan JKM pada 10 April lalu. – KOSMO! ONLINE