PETALING JAYA – Idea Live Arena di 3 Damansara mencipta sejarah apabila menjadi pentas tertutup terbesar dalam pusat beli-belah di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu buat dunia hiburan tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, fasiliti berkapasiti sehingga 7,000 orang penonton itu memberi nafas segar kepada pembangunan industri kreatif negara.
“Hari ini kita melancarkan sebuah pentas konsert baharu, antara yang terbesar dalam Malaysia di dalam pusat beli-belah, iaitu Idea Live Arena di bawah kelolaan Superstar Holdings Sdn. Bhd.
“Tempat ini lengkap dengan peralatan terbaharu bagi penganjuran konsert, pameran dan persembahan secara langsung.
“Kita mengalu-alukan kemudahan sebegini kerana mampu menggerakkan bukan sahaja sektor hiburan, bahkan pendidikan dan hiburan berunsur pendidikan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Azmir, kewujudan Idea Live Arena bertepatan dengan inisiatif terbaharu diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Mohammad Fahmi Fadzil, dalam usaha menarik lebih banyak penganjur luar negara memilih Malaysia sebagai destinasi persembahan.
“Inisiatif ini dikelola oleh Bahagian Pengurusan Pusat Sehenti Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) bersama Marketing Venture, dengan insentif ditawarkan kepada penganjur acara dari luar negara.
“Pentas ini sudah hampir penuh ditempah hingga hujung tahun, membuktikan bahawa penonton tempatan amat dahagakan pengalaman hiburan bertaraf dunia,” ujarnya pada majlis pelancaran Idea Live Arena, di sini, semalam.
Idea Live Arena dibangunkan dengan pelaburan RM40 juta membabitkan kerja-kerja menaik taraf struktur, pengubahsuaian serta pemasangan sistem audio, visual dan pencahayaan bertaraf antarabangsa.
Dilengkapi ruang legar eksklusif, lima kotak tetamu kenamaan (VIP) mewah serta bilik persalinan artis serba lengkap, arena ini dirancang menjadi pusat utama bagi konsert berskala besar, persembahan dan acara hiburan lain.
Majlis pelancaran rasmi diserikan dengan persembahan ikonik daripada Dato’ Sheila Majid, yang menghidupkan suasana dengan lagu-lagu malar segar beliau, sekali gus memperlihatkan kehebatan sistem akustik dan visual arena tersebut.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing berkata, Idea Live Arena diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi setempat serta menjadikan Petaling Jaya destinasi tumpuan baharu.
Dengan pembukaan rasmi ini, Idea Live Arena bukan sahaja memperkukuhkan infrastruktur hiburan negara, malah mempercepat usaha Malaysia menjadi hab pelancongan budaya dan hiburan serantau, seiring dengan matlamat kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026). – KOSMO! ONLINE