MELAKA – Seorang guru maut selepas kereta jenis Honda Civic dipandunya terbabas ketika beraksi di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Durian Tunggal, di sini malam tadi.
Kejadian yang menimpa mangsa berusia 48 tahun itu berlaku pada pukul 5 petang.
Mangsa dari Taman Pulai Perdana, Seremban, Negeri Sembilan bagaimanapun disahkan meninggal dunia lima jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa beraksi bagi catatan masa terpantas di Kejohanan Sucimuci Time Attack dianjurkan Sucimuci Motorsport.
“Ketika melalui satu selekoh tajam di litar berkenaan, kereta dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, dia yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah kebangsaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia pada pukul 10 malam ketika dirawat di hospital,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Melaka bagi proses bedah siasat, Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.
“Kita masih meneruskan siasatan untuk mengesahkan sama ada nahas ini berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal kenderaan atau kelemahan prosedur operasi standard (SOP) pihak penganjur.
“Kemalangan maut di litar ini bukan pertama kali berlaku, justeru kita meminta untuk kedua-dua pihak peserta dan penganjur mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap penganjuran perlumbaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE