MELAKA – Enam penghantar makanan Food Panda menerima surat penghargaan daripada Polis Kontinjen Melaka selepas berjaya membantu pihak berkuasa memberkas seorang suspek kes ragut pada 23 April lalu.
Majlis penyampaian surat penghargaan itu disempurnakan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam satu majlis sebagai tanda penghargaan atas tindakan pantas mereka membantu pihak polis, di sini semalam.
Keenam-enam penerima anugerah itu telah terlibat dalam insiden mengejar dan pergelutan dengan suspek di Plaza Pandan Malim sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit.
Seorang penerima, Abdul Aziz Ibrahim, 55, memberitahu, sebelum kejadian dia dan beberapa penghantar lain telahpun menubuhkan kumpulan WhatsApp khas untuk membantu polis mengesan suspek.
“Saya dihubungi Unit D9 IPD Melaka Tengah Isnin lalu untuk bantu operasi ini, jadi kami terus sebarkan maklumat lokasi suspek supaya semua rider dapat ‘alert’.
“Ini kerjasama rider dan polis. Selepas lima tahun kerja sebagai penghantar makanan, saya amat terharu dapat penghargaan daripada Ketua Polis dan syarikat Food Panda sendiri,” katanya.
Tambah Abdul Aziz, insiden itu membuktikan komuniti penghantar makanan bukan sekadar menghantar makanan, tetapi juga mampu menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai.
Sementara itu, Mohammad Haikal Mohd. Yassin, 22, pula berkata, pengalaman itu membangkitkan semangatnya untuk terus membantu pihak berkuasa.
“Kami bukan hanya hantar makanan, kami juga nak jaga keselamatan komuniti. Kalau ada apa-apa maklumat jenayah, kami takkan teragak-agak bantu polis. Ini tanggungjawab sosial kami,” katanya.- KOSMO! ONLINE