SHAH ALAM – Selangor sedang membangunkan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengelakkan ada golongan tersebut terpinggir sehingga mengemis di jalanan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, ini terutama melibatkan OKU di kalangan belia bagi mengelakkan berlakunya sebarang kes termasuk terlibat dalam jenayah.
Justeru, kata beliau, dasar itu akan mendedahkan mengenai hak dan keperluan-keperluan perlu disantuni kepada warga OKU.
“Pendaftaran OKU itu penting bagi melihat secara realiti berapa sebenarnya populasi OKU di Selangor.
“Berdasarkan rekod, terdapat 132,000 OKU telah berdaftar namun mengikut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah 15 peratus daripada populasi di sesebuah negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Selangor Care Accelerator (XCARE) 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sebarang tindakan kerajaan negeri bagi mengelakkan kes melibatkan seorang lelaki OKU lembam yang membunuh pengemis lain di hadapan sebuah bank di Shah Alam, berulang kembali.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, Khamis lalu, seorang mangsa berusia 40 tahun mati ditikam beberapa kali menggunakan pisau disebabkan perebutan tempat meminta sedekah.
Mengulas lanjut, Anfaal berkata, kesedaran perlu di tempat kerja perlu ditingkatkan agar syarikat boleh mengupah atau mengambil mereka daripada golongan OKU ini.
“Langkah ini bagi memastikan inklusifviti seterusnya dapat mengurangkan isu-isu mengemis di kalangan warga OKU.
“Dari segi keselamatan pula dibawah pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sahaja bagi mengemis malah mereka yang berada di sekitarnya terjaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE