WALAUPUN dibadai prestasi tidak menentu, pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin kekal sepakat untuk terus berjuang bersama demi mencapai misi menembusi kelompok 10 terbaik dunia.
Pang Ron berkata, keputusan untuk berpisah tiada langsung tidak terlintas di fikiran mereka sebaliknya menjadikan tempoh sukar yang sedang dilalui itu sebagai motivasi untuk bangkit lebih kuat.
“Tidak sama sekali (berpisah) kerana kami juga akan duduk berbincang bersama jurulatih dan juga rakan sepasukan saya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk baiki masalah ini.
“Selepas kejayaan di China Masters, corak permainan kami sudah dapat dibaca. Lawan tahu cara menewaskan kami, jadi sekarang kami cuba untuk mempelbagaikan corak permainan dan fokus kepada kekuatan mental.
“Apapun, sasaran sekarang adalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik tetapi kita mahu selesaikan masalah tersebut,” katanya yang kini menduduki ranking No. 14 dunia.
Gandingan muda negara itu pernah mencetuskan harapan peminat tanah air untuk menjadi pasangan terbaik apabila berjaya mara ke final China Masters hujung tahun lalu.
Bagaimanapun, prestasi mereka mula merudum termasuk tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China minggu lalu.
Dalam suasana tekanan, semangat juang pasangan muda ini masih membara apabila mereka tetap diberi kepercayaan menyertai skuad negara ke Piala Sudirman di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Mereka akan bergandingan bersama pasangan utama negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie serta pasangan yang disatukan semula, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama kuasa besar badminton dunia, Jepun, serta Perancis dan Australia. Dua pasukan teratas akan mara ke peringkat suku akhir.27