PETALING JAYA – Cuaca ribut petir, hujan lebat serta angin kencang terutama pada sebelah petang dan awal malam dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, ia disebabkan situasi negara ketika ini sedang dipengaruhi fasa peralihan monsun yang bermula sejak 25 Mac lalu.
Beliau berkata, dalam tempoh ini, keadaan angin lazimnya bertiup lemah dari pelbagai hala yang akan menggalakkan pembentukan cuaca buruk pada sebelah petang atau malam.
“Hujan pada awal pagi di kawasan Semenanjung pula boleh berlaku apabila terdapat perubahan pergerakan angin yang datang dari arah barat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Mengulas lanjut, Mohd. Hisham berkata, beberapa stesen pencerapan meteorologi utama merekodkan jumlah hujan bulanan melebihi paras purata bulanan beberapa hari.
Katanya, ia melibatkan kawasan di Lembah Klang dan Timur Semenanjung, manakala di kawasan lain masih pada paras purata atau kurang.
Sementara itu Mohd. Hisham berkata, fasa peralihan monsun berlaku dua kali setiap tahun, iaitu ketika peralihan musim Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya pada Mac hingga Mei.
“Peralihan musim Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut pula berlaku pada September hingga November,” ujarnya.
Beberapa minggu lalu di Lembah Klang terutama Shah Alam di Selangor mengalami hujan lebat dan angin kencang sehingga mengakibatkan banjir kilat awal pagi.
Keadaan cuaca tidak menentu ini telah berlaku hampir sebulan ini.















