MELAKA – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Nur Qalidah Farhana, 18, tidak menyangka kegigihannya bekerja di hentian rehat dan rawat (R&R) Pagoh bagi mengumpul wang untuk melanjutkan pengajian mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (Mozac), Ayer Keroh itu, pelbagai pihak menghubungi gurunya selepas kisahnya dikongsikan Kosmo! Online semalam.
Nur Qalidah yang memperoleh 9A memberitahu, dia membuat permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) kelmarin dan berharap terpilih sebagai penerima biasiswa Yayasan UTP.
“Saya amat bersyukur dan terharu kerana ramai yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat. Saya benar-benar tidak sangka kisah saya mendapat perhatian ramai.
“Cikgu beritahu ada beberapa pihak termasuk Alumni Mozac berminat untuk membantu, alhamdulillah tidak sangka masih ada insan yang prihatin dengan nasib anak kampung seperti saya,” katanya sebak ketika dihubungi hari ini.
Menurut Nur Qalidah, dia turut menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian daripada beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), termasuk cadangan melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Tapi ibu mencadangkan saya belajar di dalam negara dahulu. Sekiranya sudah bekerja, baru boleh lanjutkan pengajian ke luar negara.
“Sekarang saya masih bekerja secara sambilan di R&R Pagoh untuk mengumpul pengalaman dan wang saku bagi menampung perbelanjaan di universiti,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Remaja itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya, adik-beradik, guru-guru serta rakan-rakan yang tidak jemu memberi dorongan dan mendoakan kejayaannya. – KOSMO! ONLINE