PETALING JAYA – Status pasukan Sri Pahang musim depan menjadi tanda tanya selepas Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku pemilik kelab memberi bayangan bakal berundur daripada arena bola sepak tempatan.
Menerusi temubual bersama bersama televisyen swasta selepas berakhir aksi final Piala Malaysia malam tadi, Tengku Abdul Rahman memberi jawapan ringkas terhadap masa depan skuad Tok Gajah selain mengucapkan tahniah atas kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Tahun depan saya minta undur diri.
“Tahniah kepada JDT, Tunku Mahkota Ismail khasnya yang sudah membimbing JDT selama 12 tahun dari usia yang muda. Saya mengikuti perkembangan dan idea-idea Tunku Mahkota Ismail.
“Saya boleh nampak perubahan tempo, kualiti dan ini akan meningkatkan lagi pasukan kebangsaan,” kata Tengku Abdul Rahman.
Sebagai rekod, spekulasi mengenai masa depan skuad Tok Gajah bertiup kencang apabila dilaporkan mengalami masalah di luar padang terutama daripada aspek kewangan.
Namun, ia tidak menghalang skuad kendalian Fandi Ahmad itu untuk mara ke pentas final Piala Malaysia sebelum tewas 1-2 kepada JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. – KOSMO! ONLINE