MADINAH – Petugas media Tabung Haji (TH) dibawa menyertai aktiviti ziarah luar ke beberapa lokasi sekitar Madinah termasuk Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan Jabal Uhud.
Pembimbing Ibadat Haji TH, Kamarudin Abd. Hamid berkata, media merupakan platform terbaik menyampaikan dakwah serta ilmu mengenai agama Islam terutama dalam sirah perjalanan Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama suci ini di kota Madinah.
“Sehubungan itu, adalah amat baik pengamal media yang bersama TH menyebarkan lokasi serta persekitaran yang bersejarah untuk pengetahuan mereka dan boleh diuar-uarkan kepada orang awam melalui alat yang canggih dan seumpamanya,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Media TH Tanah Suci, Norasyikin Yusof berkata, melalui aktiviti ziarah luar ini memberi manfaat kepada jemaah haji untuk menambah pengetahuan mengenai sirah Nabi Muhammad SAW.
“Pada hari ini kita bawa pengamal-pengamal media ke beberapa tempat bersejarah dan istimewa di Madinah antaranya di Masjid Quba dan Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh, supaya mereka dapat mengetahui sejarah di tempat yang pernah Nabi Muhammad SAW pernah hadir dekat sini,” katanya.
Jemaah haji Malaysia yang berada di Madinah akan turut berpeluang merasai pengalaman menyertai aktiviti ziarah dalam dan luar.
Seramai 31,600 jemaah bakal menunaikan ibadah haji bagi musim 1446H/2025M dengan penerbangan pertama dijadual tiba di Madinah pada 29 April ini.