KLANG – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya terbabas melanggar pembahagi lorong di Plaza Tol Bukit Raja, Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia lingkungan 30-an tersepit sebelum diselamatkan bomba.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.12 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikerah dalam operasi menyelamat itu.
“Pemeriksaan mendapati kejadian melibatkan sebuah kereta Honda Jazz yang terbabas sendiri melanggar pembahagi tol itu.
“Kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki tersepit pada kaki kirinya di bahagian pemandu,” katanya.
Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa berjaya dikeluarkan pihaknya dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE