fbpx

Kerani cedera rambut direntap peragut sampai terjatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video pergelutan antara mangsa dan suspek yang cuba meragut dalam kejadian di Taman Kota Kenari di Kulim pada semalam.

KULIM – Seorang kerani wanita berdepan detik cemas apabila rambutnya ditarik hingga terjatuh atas jalan tar dalam kes cubaan ragut di rumahnya di Taman Kota Kenari, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa berusia 39 tahun cedera pada pipi kiri selain luka di lutut dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, ketika kejadian, mangsa berada di dapur bersama ibunya dan seorang rakan perempuan.

Katanya, dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal berhenti di lorong belakang sebelum salah seorang suspek meluru masuk ke dalam rumah.

“Suspek cuba meragut rantai leher rakan mangsa, namun gagal apabila wanita itu menolak lelaki tersebut,” katanya hari ini.

Menurut beliau, suspek kemudian merentap rantai leher mangsa sehingga terputus, namun wanita itu dapat memegang aksesori emas tersebut.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum lelaki itu menarik rambut mangsa hingga ke luar rumah. Mangsa terjatuh atas jalan dan mengalami kecederaan. Mangsa juga ternampak suspek membawa sebilah pisau.

“Seorang lagi suspek yang menunggang motosikal Yamaha Y15 berada di luar rumah. Kedua-dua suspek kemudian beredar selepas beberapa jiran datang membantu,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI