SANTIAGO – Sejenis pokok berusia lebih 5,400 tahun di Chile kini terancam apabila kerajaan merancang menebangnya bagi membina sebuah lebuh raya baharu, lapor portal berita DW semalam.
Tumbuhan digelar pokok tertua dunia itu hidup di kawasan dilindungi di Taman Negara Alerce Costero.
Seorang pegawai kerajaan berkata, lebuh raya tersebut akan menghubungkan beberapa bandar selain meningkatkan industri pelancongan di rantau berkenaan.
Rancangan untuk menebang pokok itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan penduduk setempat, saintis dan aktivis alam sekitar.
Saintis Chile berpangkalan di Paris, Jonathan Barichivich berkata, kerajaan boleh membuat lencongan berdekatan hutan simpan itu dan tidak perlu menebang pokok yang dianggap khazanah negara.
Penduduk tempatan mendakwa bahawa matlamat sebenar penebangan adalah kerana pembalakan. Tumbuhan tersebut yang dinamakan pokok Alerce atau nama saintifiknya, Fitzroya, memiliki kayu berkualiti tinggi serta tahan lama. – AGENSI