KLANG – Perselisihan faham mengenai keadaan jalan menjadi punca penunggang motosikal cedera dilanggar dan digilis sebuah kereta di Jalan Dato’ Yusof Shahbudin, Bandar Sentosa di sini semalam.
Kejadian pada pukul 10 malam itu menyebabkan mangsa berusia 50 tahun mengalami kecederaan di kaki dan bahu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kejadian pergaduhan itu pada pukul 10.20 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang menunggang motosikal mengelak beberapa permukaan jalan tidak rata di lokasi berkenaan.
“Pemandu kereta berusia 37 tahun menganggap mangsa menunggang secara tidak berhemah dan membunyikan hon bagi menegur perbuatan tersebut.
“Mangsa yang tidak berpuas hati kemudian mengejar pemandu kereta dan menghentak cermin hadapan dengan topi keledar sehingga retak,” katanya hari ini.
Ramli berkata, dipercayai sebagai tindak balas, pemandu kereta itu kemudian melanggar mangsa sehingga terseret bersama motosikal sebelum melarikan diri.
Mangsa yang cedera di kedua-dua kaki dan bahu termasuk terkehel dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut.
Jelas Ramli, pihkanya kemudian memberkas suspek kira-kira pukul 1.15 pagi tadi bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah dan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE