fbpx
AKSI Hoe Yean ketika memperbaharui rekod kebangsaan acara 200m rampaian individu lelaki. - IQBAL ROSLI

Hoe Yean pecah rekod kebangsaan di Terbuka Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perenang sensasi negara, Khiew Hoe Yean terus mempamerkan aksi memukau pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 apabila meleburkan rekod kebangsaan ketika memenangi acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini, atlet berusia 23 tahun itu melakukan catatan masa 2 minit 03.29 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod lamanya 2:03.77s.

Hoe Yean berkata, dia langsung tidak meletakkan sasaran untuk meleburkan rekod kebangsaan bagi acara tersebut kerana pada awalnya dia hanya menjangka untuk melakukan catatan atas daripada rekod sebelum ini.

“Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata kerana saya langsung tidak menjangka untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara ini. Bagaimanapun, saya rasa kondisi cukup bagus di sebelah pagi, begitu juga ketika memanaskan badan.

“Sebenarnya saya hanya menjangkakan untuk melakukan catatan seperti 2:04s tetapi tak sangka lebih pantas. Saya sangat gembira, jadi akan fokus untuk kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Mengiringi Hoe Yean di podium adalah perenang Sarawak, Hii Puong Wei yang meraih pingat perak menerusi catatan 2:05.50s manakala gangsa dimenangi Lo Tsz Lam (Hong Kong) dengan 2:06.32s.

Sementara itu, dia turut membantu pasukan Kuala Lumpur meraih pingat emas acara 4x100m rampaian lelaki, sekali gus menjadi pingat emas kelapan peribadinya pada kejohanan tersebut.

Selain dua acara tersebut, Hoe Yean juga memenangi enam acara lain termasuk 100m gaya bebas, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas, 400m gaya bebas, 200m kuak lentang serta 4x200m gaya bebas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI