fbpx
Puteri Nur Ain Zulaikha (depan) menunjukkan keputusan SPM bersama keluarga angkatnya ketika ditemui di rumah mereka di Kusial Baru, Tanah Merah kelmarin.

Empat kali tukar keluarga angkat tetap cemerlang SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANAH MERAH – Ujian hidup terpaksa bertukar keluarga ­angkat sebanyak empat kali tidak menggugat emosi seorang pelajar apabila meraih keputusan 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada Khamis lalu.

Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, berkata, dia mula dijaga oleh keluarga angkat sejak bayi lagi.

“Bapa angkat meninggal dunia pada 2017, selepas itu saya dijaga oleh nenek angkat. Beberapa tahun selepas itu nenek pula me­ninggal dunia dan kemudian dijaga pula bapa saudara angkat yang hidup susah.

“Saya kini tinggal bersama abang dan kakak angkat serta enam anak lelaki mereka sejak lima tahun lalu. Abang angkat saya, Mohamad Airul Roslam, 35, bekerja sebagai penjual ikan,” katanya semasa Penyerahan Bantuan Kepada Pelajar Cemerlang B40 di Kusial Baru di sini kelmarin.

Bantuan disampaikan Timbalan Pengarah Pembangunan Mara Kelantan, Mohd. Norwawi Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.

Puteri Nur Ain yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Chepa, Kota Bharu memberitahu, ke­semua yang menjaga dia sejak kecil itu adalah individu daripada keluarga bapa angkatnya.

Katanya, sejurus menerima keputusan cemerlang itu dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa semua orang yang telah membantunya sebelum ini.

“Sejujurnya saya tidak ­menyangka mampu meraih 9A selepas sekadar memperoleh 4A semasa percubaan. Saya kini memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang fizik, dengan Jepun menjadi negara pilihan utama.

“Saya pernah ragu-ragu sebab kekangan kewangan. Tapi lepas dapat tawaran program pelajar cemerlang, saya yakin untuk te­ruskan cita-cita,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan Pengerusi Majlis Amanah Rak­yat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Da­suki dilaporkan berkata, pihaknya akan menaja sepenuhnya pengajian Puteri Nur Ain Zulaikha yang tidak hadir mengambil keputusan SPM.

Asyraf Wajdi berkata, Mara akan menanggung sepenuhnya pengajian pelajar yang mendapat 9A itu hingga ke peringkat universiti sehingga ke luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN