KUALA LUMPUR – Polis memburu dua kumpulan lelaki selepas merusuh dan merosakkan peralatan di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Telawi, Bangsar di sini, pagi kelmarin.
Kejadian pada pukul 5.40 pagi melibatkan lapan hingga 10 lelaki itu menyebabkan premis tersebut mengalami kerugian RM5,000.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, antara kerosakan yang dilakukan adalah cermin kaunter makan, meja makan dan perhiasan al-Quran pada dinding pecah.
“Ekoran kejadian itu, pelanggan juga tidak membayar bil makan berjumlah RM1,000 kerana lari ketakutan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada seorang wanita daripada salah satu kumpulan tersebut diganggu kumpulan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ku Mashariman berkata, seramai tiga saksi telah dirakam percakapan. Selain itu, beberapa suspek terlibat turut dikenal pasti dan usaha mengesan mereka masih dijalankan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.- KOSMO! ONLINE